Khutbah Terakhir Rasulullah s.a.w
Padang
Arafah. Pada tahun ke 10 Hijrah ketika mengerjakan Hujjatul Wada’,
Rasulullah SAW telah menyampaikan khutbahnya yang terakhir (Khutbah
Wida’). Baginda bertolak ke Arafah dari mina setelah naiknya matahari 9
Zulhijjah. Sebuah khemah didirikan untuk baginda dan baginda masuk serta
berada di dalamnya sehingga tergelincir matahari (waktu zohor).
Selepas itu, baginda pun mengarahkan
disiapkan untanya al-Qaswah, lalu menaikinya sehingga baginda tiba di
Wadi Uranah. Di hadapan baginda, ribuan para sahabat mengelilingi
baginda. Semuanya menanti penuh debar. Apakah ingin disampaikan baginda.
Ramainya manusia yang berhimpun pada haji wida’ itu. Ada riwayat
mengatakan jumlahnya mencecah 144,000 orang semuanya.
Baginda pun menyampaikan khutbahnya yang bersejarah:
“Segala puji bagi Allah. Kita memuji,
meminta pertolongan, beristighfar dan bertaubat kepada-Nya. Kita
berlindung dengan-Nya daripada kejahatan diri dan keburukan amalan kita.
Sesiapa yang Allah berikan hidayat kepadanya, maka tidak ada siapa yang
boleh menyesatkannya. Sesiapa yang disesatkan oleh Allah, maka tidak
ada siapa yang boleh memberikan hidayat kepadanya. Aku menyaksikan
bahawa tidak ada Tuhan melainkan Allah yang Esa, tidak ada sekutu
bagi-Nya. Aku menyaksikan bahawa Muhammad adalah hamba dan rasul-Nya.
Aku berpesan kepada kamu supaya mentaati-Nya. Aku membuka khutbahku ini
dengan mukaddimah yang baik.
Wahai manusia! Sila dengar apa yang akan
aku katakan ini. Aku tidak tahu apakah aku akan dapat bersama kamu
semua lagi selepas tahun ini, di tempat ini selamanya.
1. Sesunguhnya darah kamu, harta benda
kamu dan kehormatan diri kamu telah terpelihara (diharamkan) sebagaimana
diharamkan hari ini, bulan ini dan bandar ini Makkah dan kawasan
sekitarnya.
2. Sesiapa yang memegang amanah, maka dia hendaklah mengembalikan amanah tersebut kepada tuan punyanya.
3. Ingatlah! Segala amalan jahiliyyah telah berada di tapak kakimu (iaitu telah dihapuskan).
4. Tuntutan hutang darah di zaman
jahiliyyah (sebelum Islam) telah diampunkan. Tuntutan darah pertama yang
aku batalkan adalah darah Rabi’ah bin Al-Haris yang disusukan oleh Bani
Saad kemudian telah dibunuh oleh Huzail.
5. Riba adalah haram dan aku
memulakannya dengan membatalkan riba yang akan diterima oleh Abbas bin
Abdul Mutalib. Sesungguhnya ia dihapuskan keseluruhannya.
6. Wahai manusia! Takutilah Allah SWT di
dalam urusan yang berkaitan dengan wanita. Sesungguhnya kamu telah
mengambil mereka sebagai amanah daripada Allah SWT dan mereka telah
dihalalkan kepada kamu dengan kalimah Allah. Wajib ke atas mereka untuk
menjaga kehormatan kamu dan menjaga diri daripada melakukan perbuatan
buruk. Jika mereka lakukannya maka kamu berhak untuk menghukum mereka
tetapi bukanlah dengan pukulan yang mencederakan. Jika isteri-isteri
kamu setia dan jujur terhadapmu, maka wajib ke atas kamu menjaga makan
pakai dengan baik.
7. Semua orang mukmin adalah bersaudara,
oleh itu tidak halal bagi seorang muslim mengmbil harta orang lain
kecuali setelah mendapat kebenaran daripada tuannya.
8. Jangan kamu kembali menjadi kafir
selepas pemergianku, di mana sebahagian daripada kamu memerangi
sebahagian yang lain. Aku telah tinggalkan untuk kamu suatu panduan,
jika kamu berpegang teguh dengan ajarannya, maka kamu tidak akan sesat
selama-lamanya; kitab Allah dan sunnah Nabi-Nya.
9. Wahai manusia! Sesungguhnya tidak ada
lagi nabi selepasku dan tidak ada lagi umat selepas kamu. Maka aku
menyeru agar kamu menyembah Allah SWT Tuhan kamu dan menunaikan solat
lima waktu, berpuasa pada bulan Ramadhan serta mengeluarkan zakat
hartamu dengan kerelaan. Dan kerjakanlah haji ke Rumah Suci Tuhanmu
(kaabah), untuk itu kamu akan masuk syurga Tuhanmu.
10. Tuhan kamu adalah Esa, datuk kamu
pula adalah satu, kamu semua berasal daripada Adam dan Adam telah
dijadikan daripada tanah. Orang yang paling baik di kalangan kamu ialah
mereka yang paling bertaqwa kepada Allah. Tidak ada kelebihan bangsa
Arab terhadap bangsa lain kecuali dengan taqwa.
11. Allah SWT telah menetapkan hak
menerima pusaka kepada keluarga si mati, oleh itu tidak boleh membuat
wasiat kepada penerima pusaka. Sesungguhnya laknat Allah ke atas sesiapa
yang mengaku sebagai bapa kepada bukan bapanya yang sebenar, juga
laknat dari para malaikat dan seluruh manusia.
12. Kemudian kamu akan disoal tentang
aku, maka apa yang akan kamu jawab? Mereka menjawab, “Kami bersaksi
bahawa tuan telah menyampaikan dan menyempurnakan risalah-Mu.” Baginda
lalu mengangkat tangannya ke langit dan menurunkannya ke arah orang
ramai sambil berkata, “Ya Allah! Saksikanlah.” Baginda Rasulullah
mengucapkannya sebanyak tiga kali. Orang yang mengulang kembali ucapan
Rasulullah SWT dengan kuatnya di Arafah ialah Rabi’ah bin Umaiyyah bin
Khalaf ra.
Baginda berkhutbah di atas untanya al-Qaswah. Di sinilah turunnya wahyu mengenai kesempunaan agama Islam. “Pada
hari ini telah disempurnakan bagimu agamamu, dan telah kucukupkan
nikmat-ku kepadamu, dan telah kuredhakan Islam itu menjadi agama untukmu. (Al-Maidah ayat 3)
Selepas baginda membacakan wahyu ini,
para sahabat saling berpelukan kerana begitu gembira. Namun Sayyidina
Abu Bakar perasan al-Qaswah unta nabi menitiskan air mata dengan banyak.
Beliau pun ikut menangis.
Sayyidina Umar bertanya apakah sebabnya
lalu Sayyidina Abu Bakar menjelaskan. Di sebalik berita gembira
sempurnanya agama Islam, wahyu penutup itu juga petanda khabar duka.
Baginda pasti akan meninggalkan mereka kerana tugasnya sebagai Rasul
sudahpun selesai. Mendengar itu Sayyidina Umar pun menangis sama, begitu
juga dengan para sahabat yang lain.
No comments:
Post a Comment