Saturday 8 September 2012


Wujudkah Taman Gantung Babylon



Taman Gantung Babylon dianggap sebagai salah satu daripada Tujuh Keajaiban Dunia Purba. Tetapi sehinggan kini tiada siapa tahu bagaimana rupa bentuknya kerana taman in tidak meninggalkan sebarang kesan tinggalan. Mengikut sejarah, enam daripada tujuh benda yang dianggap sebagai ajaib didunia purba telah meninggalkan kesan. Contohnya, Piramid Giza masih kekal sampai hari ini. Rumah Api Iskandariah, Patung Raksasa Rhodes dan Makam Mausollos pula musnah dalam gempa bumi. Kuil Artemis dan Berhala Zeus pula hangus terbakar. Dan Taman Gantung Babylon lansung tidak ada sebarang kesan.
  Apakah taman ini memang benar wujud atau mungkin sekadar cerita legenda? Berdasarkan sejarah, empayar Babylon berkembang dalam tamadun Mesopotamia sekitar 1792 Sebelum Masihi (SM). Namun, tidak ada satu pun buku yang menjelaskan secara khusus tentang seni bina Taman Gantung Babylon.



  Seorang sejarawan purba, Herodotus pernah menulis secara menyeluruh tentang keindahan Babylon. Tetapi, dia lansung tidak pernah menyatakan tentang kewujudan taman gantung itu. Hanya ahli sejarah Greek, Strabo yang menceritakan mengenai taman itu. Walaupun begitu, Strabo tidak pernah pergi ke taman tersebut seumur hidupnya.
  Dalam tulisannya, dia menyatakan bahawa taman misteri itu terletak berdekatan Sungai Euphrates. Kedudukannya sekitar 50 kilometer di selatan Baghdad, Iraq. Ia dibina oleh Raja Nebuchadnezzar II sekitar tahun 604 hingga 562 Sebelum Masihi (SM). Tujuannya bagi menyenangkan hati isterinya, Ratu Amytis of Media yang dikatakan amat merindui pemandangan indah kampung halamannya di Parsi.
  Strabo menggambarkan seni bina taman tersebut sebagai berbentuk segi empat. Di bahagian atas, ditutupi kubah lengkung yang menjadi atap pelindung. Kemudian, ditanamkan pula pelbagai jenis tumbuhan eksotik dan landskap kreatif. Taman itu tergantung di atas kepala dan tidak jejak di bumi. Seluruh jisimnya disokong dengan medan batu. Sebuah sistem pengaliran canggih dibina. Air di pam ke atas taman dan dibiarkan mengalir menuruni lereng. Saluran air ini mengairi tanaman dan menjaga kelembapan keseluruhannya.
  Namun, menurut Pensyarah di Jabatan Sejarah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Tan Sri Datuk Dr. Khoo Kay Kim, beberapa ahli sejarah moden berpendapat cerita itu cuma imaginasi orang terdahulu. Di campur adukkan dengan pelbagai elemen fantasi lalu menghasilkan satu keajaiban dunia. Ini kerana, terdapat banyak perkara mengelirukan tentang kewujudannya yang menimbulkan pelbagai tanda tanya.

  Pertama, untuk apa taman itu dibina? Adakah ia dibangunkan hanya semata mata kerana Ratu Amytis rasa rindu pada keindahan kampungnya? Adalah tidak logik untuk menghilangkan rasa rindu itu dengan menghadiahkan sebuah taman luar biasa yang agak sukar untuk dibina.
  Siapa individu sebenar yang membinanya juga dipertikaikan. Para sarjana hari ini mengatakan bahawa Raja Sanherib merupakan orang sebenar yang membina dan mereka bentuk taman kayangan itu. Bukannya, Nebuchadnezzar II. Namun, bagaimana ia dibina juga agak misteri kerana banyak kemungkinan yang mustahil untuk berlaku.
  Salah satunya, faktor lokasi Mesopotamia yang terletak di kawasan tanah tandus. Bagaimana mungkin sebuah taman luar biasa dibina di tengah tengah gurun panas. Tumbuhannya boleh hidup subur selama lebih 275 tahun? Dari mana sumber air diperoleh untuk mengekalkan kesuburan dan kelembapan tanaman sepanjang tempoh kegemilangan taman itu? Perkara ini menjadi perdebatan hangat. Dan semuanya masih dalam persoalan.
  Sebahagian penyelidik percaya, Babylon menggunakan teknik hidroponik atau sistem rantai pam untuk mengangkut air tawar dari Sungai Euphrates. Air sungai itu digunakan untuk menyiram tanaman. Sungguhpun begitu, masih tidak ada bukti konklusif menunjukkan pelbagai jenis bunga bungaan dab tumbuhan eksotik pernah hidup subur di Babylon.
  Alasan paling logik untuk meragukan kewujudan Taman Gantung Babylon ialah mengapa sepanjang tempoh ratusan tahun itu tidak ada seorang pun di Babylon menulis tentang keajaiban taman tersebut. Malah, tidak ada peta topografi khusus bagi menjelaskan lokasi sebenar taman yang dipercayai dibina itu.
  Apakah mungkin ada pihak tertentu dengan sengaja telah menghapuskan bukti atau menghancurkan taman berkenaan? Seperti Alexander dan pasukannya menghancurkan keagungan Persepolis di Kota Parsi? Tapi, runtuhan Persepolis masih berdiri sampai hari ini. Berbeza pula dengan Taman Gantung Babylon kerana struktur asas dan monumennya langsung tidak ditemui di Babylon.
  Dalam hal ini, ada beberapa pihak cuba menegakkan fakta bahawa taman berkenaan memang pernah wujud suatu ketika dulu. Sekalipun ia memang benar pernah wujud di Babylon, mengapa monumen sejarah itu tidak digambarkan dengan baik dan dibuka untuk kunjungan umum seperti enam keajaiban lain dalam dunia. Sebaliknya ia 'hilang' tanpa sebarang petunjuk.


Babylon adalah negara kota bagi Mesopotamia kuno. Sekarang peninggalannya dapat ditemui di di Al-Hillaah, Wilayah Babil, Iraq yang terletak lebih kurang 85 kilometer Selatan Baghdad. Hanya longgokan dan timbunan tanah serta kesan runtuhan bangunan dapat dilihat sekarang di antara Sungai Tigris dan Sungai Futat. Sejarah mengatakan bahawa Babylon pada asalnya sebuah kota kecil yang mula bertapak pada permulaan ketiga Sebelum Masihi (SM). Kota ini mula dianggap penting dengan kebangkitan Dinasti pertama Babylon. Ia adalah sebuah kota suci rakyat Babylon dari tahun 612 SM. Taman Tergantung Babylon merupakan di antara Tujuh Keajaiban Dunia. Perkataan Babylon berasal dari bahasa Akkadia ''Babilu" yang bermaksud pintu masuk dewa. Dalam Al-Quran dan Kitab Bible, nama ini disebut sebagai Babil atau Babel. Manakala, dalam kitab kejadian 11:9, ia bermakna kekeliruan dari kata kerja "balbal" iaitu untuk mengelirukan.

No comments:

Post a Comment